Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat datang ke sini :)

Monday, 24 September 2012

NIAT DAN LAFAZ NIAT SOLAT FARDHU LIMA WAKTU..




Lafaz-lafaz niat solat fardhu adalah seperti berikut :

   i) Niat solat Subuh

أُصَلِّى فَرْضَ الْصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

"Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Ta'ala."


  ii) Niat solat Zuhur

أُصَلِّى فَرْضَ الْظُهْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

"Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur empat rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Ta'ala"


  iii) Niat solat Asar

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

"Sahaja aku sembahyang fardhu Asar empat rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Ta'ala"


  iv) Niat solat Maghrib

أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

"Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Ta'ala"


  v) Niat solat Isya'

أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

"Sahaja aku sembahyang fardhu Isya' empat rakaat sebagai (makmum/imam) kerana Allah Ta'ala"




Sunday, 23 September 2012


PENGERTIAN SOLAT

PERKATAAN ‘Solat’ dalam Bahasa Arab ialah 'Doa memohon kebajikan dan pujian.' Maka, solat Allah SWT kepada NabiNya ialah pujian Allah SWT kepadaNabiNya.

Sebelum Islam, orang Arab menggunakan perkataan solat dengan maksud yang sedemikian dan erti itu terdapat juga pada beberapa tempat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bersolatlah (doakanlah) untuk mereka, kerana sesungguhnya solatmu (doamu) itu menjadi ketenteraman bagi mereka." (At-Taubah: 103)

Demikianlah makna ataupun takrif solat dalam pengertian Bahasa Arab sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas.

1. SecaraZahir
Adapun takrif solat yang dikehendaki syarak sebagai nama bagi ibadah yang menjadi tiang agama Islam, para Fuqaha (ahli fekah) telah sepakat menetapkan pengertian ini, iaitu:
"Beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."

Bagaimanapun takrif para Fuqaha ini hanya mengenai "rupa solat” sahaja, tidak merangkumi 'hakikat dan "roh”nya.

Tegasnya, takrif yang diberikan oleh para Fuqaha ialah takrif yang menggambarkan solat yang dapat didengar dan dilihat atau secara ringkas disebut takrif secara zahir. Tidak termasuk di dalam pengertian ini, hakikat dan jiwa solat yang hakiki.

2. Secara Batin
Untuk mengetahui takrif yang menerangkan hakikat solat dan jiwanya atau takrif secara batin, ia ada digambarkan oleh ahli-ahli makrifat iaitu:
"Berhadap hati (jiwa) kepada Allah, secara yang mendatangkan takut kepadaNya serta menumbuhkan di dalam jiwa rasa keagungan, kebesaran dan kesempurnaan kekuasaanNya."

Dengan lain perkataan, ia boleh ditakrifkan begini:
"Hakikat solat ialah "menzahirkan hajat dan keperluan kita kepada Allah yang kita sembah dengan perkataan dan pekerjaan atau dengan kedua-duanya sekali."

Lantaran itu, solat juga diertikan dengan doa kerana ia mengandungi hajat hamba kepada Allah SWT.

Menzahirkan hajat kita kepada Allah SWT sama ada dizahirkan dengan perbuatan mahupun yang kita zahirkan dengan sikap, bererti kita berharap untuk mendapat sesuatu yang kita hajati. Ertinya, kita memohon sesuatu nikmat atau kita mengharap supaya terhindar dari sesuatu kesusahan dan kemelaratan.